RAMALLAH 12 Okt. – Palestin tidak lagi akan bekerjasama dengan wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas didakwa mencampuri urusan perjanjian damai antara Israel dan pergerakan Hamas.
Anggota suruhanjaya eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Ahmed Majdalani berkata, pihaknya telah memaklumkan berhubung keputusan itu kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
Majdalani menjelaskan Penyelaras Khas PBB untuk Proses Damai Asia Barat, Nickolay Mladenov ‘tidak lagi diterima’ oleh kerajaan Palestin.
Mladenov dikatakan ‘melampaui tugasnya’ dalam menyelesaikan perjanjian damai antara Israel dan Hamas selain menambah tindakannya itu akan memberi impak kepada keselamatan nasional serta perpaduan penduduk Palestin.
Setakat ini, tiada sebarang komen dikeluarkan oleh Mladenov atau pengesahan daripada PBB.
“Selepas penduduk Palestin berkata ‘tidak’ kepada Israel dan ‘tidak’ kepada penduduk Amerika, mereka kini mengatakan ‘tidak’ kepada PBB juga.
“Berdasarkan keputusan berkenaan, Presiden Palestin iaitu Mahmud Abbas berterusan membawa Palestin kepada pengasingan antarabangsa, yang akan menjejaskan penduduk Palestin,” dakwa Duta Israel ke PBB, Danny Danon dalam satu kenyataan dikeluarkan.
Mladenov, bersama-sama Mesir, berusaha menyelesaikan perjanjian gencatan senjata untuk tempoh yang lama antara Hamas dan Israel tetapi tidak menjemput Abbas dalam rundingan berkenaan.
Rundingan tersebut bagaimanapun tertangguh ekoran tekanan daripada Abbas tetapi pada Selasa lalu, satu perjanjian kecil dibiayai oleh PBB telah dicapai untuk Qatar membiayai penghantaran minyak ke Gaza selama enam bulan.
Kerajaan Abbas tidak terbabit dalam rundingan itu dan strategi Mladenov telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan ahli politik Palestin. – AFP











