KELUARGA Colt mengamalkan sumbang mahram dalam kehidupan mereka sehingga menyebabkan lima orang anak dilahirkan hasil hubungan terlarang itu.
Salah seorang ahli keluarga itu, Martha Colt merupakan yang paling rosak akhlaknya dan ditemui hidup bersama abangnya, Charlie di bandar Griffith, New South Wales (NSW), Australia.
Martha dan Charlie (nama samaran yang digunakan oleh mahkamah bagi melindungi identiti anak tertuduh) tinggal dan tidur bersama lelaki terbabit di atas ‘katil kelamin’ di ladang milik keluarga itu ketika ditangkap pada April lalu. Hasil hubungan terlarang, wanita itu mempunyai empat anak berusia antara 11 hingga 20 tahun.
Martha dan abangnya, Charlie berkongsi katil yang sama di salah sebuah khemah dalam bangsal besar di ladang keluarga itu yang turut menempatkan peti sejuk mengandungi sayur yang telah busuk dan pelbagai wayar yang boleh mendatangkan bahaya bersambung ke mesin penjana kuasa.
Ladang tersebut berbau hancing dan busuk najis, berpunca daripada beberapa baldi yang dipenuhi bahan kumbahan di keliling kediaman yang turut dihuni 20 ekor anjing. Sewaktu serbuan, pasukan detektif dan badan berkuasa kebajikan terkejut melihat persekitaran tempat tinggal keluarga itu yang kotor, tiada sumber air, elektrik dan sanitasi.
Baru-baru ini, sebuah mahkamah diberitahu, pihak polis cuba mendapatkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada kesemua ahli keluarga Colt sebelum pertuduhan dikenakan ke atas mereka.
Detektif dari Unit Perlindungan Kanak-kanak, Balai Polis NSW telah menahan lapan ahli keluarga terbabit dalam serbuan yang dilakukan pada 15 April lalu di tiga buah negeri. Martha, 38, kini ditahan di Penjara Wanita Dillwynia yang terletak jauh di barat Sydney.
Ketika muncul di mahkamah melalui persidangan video, Martha kelihatan lebih tua dengan rambut beruban dan raut wajah kepenatan.
Wanita terbabit didakwa atas tuduhan bersubahat; tuduhan yang lebih ringan berbanding adik beradik dan anak saudara lelaki lain yang menghadapi pertuduhan melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak, serangan sumbang dan sumbang mahram.
Pertuduhan terbabit dibuat lima tahun selepas polis menyerbu ladang keluarga Colt yang tersorok di atas bukit belakang pekan Boorowa, NSW pada 2012.
Anak-anak tertuduh tidak tahu menggunakan tisu tandas, berus gigi mahupun mandi dan sering kencing atas katil serta mengalami masalah pendengaran. Kanak-kanak itu juga mengalami masalah pembelajaran sekiranya dihantar ke sekolah, sering menyeksa alat sulit haiwan peliharaan dan melakukan hubungan seks di ladang berkenaan dengan sepupu, bapa dan ibu saudara mereka.
Anak-anak Martha turut mengalami kecacatan di bahagian muka akibat hubungan sumbang mahram tersebut, berjalan dengan menyeret kaki, tidak dapat bercakap dengan teratur dan mengalami ketidakmampuan kognitif.
Selepas serbuan tersebut, anak-anak tertuduh diasingkan manakala ahli keluarga Colt yang dewasa bertebaran lari ke beberapa negeri lain sehinggalah ditangkap pada April lalu di Griffith dan Lembah Avon, di bahagian barat Australia.
Sewaktu prosiding kali kedua permohonan bagi mendapatkan jaminan buat Martha, Majistret Alison Viney dimaklumkan bahawa wanita terbabit menghidap penyakit darah tinggi dan turut mengalami sakit dada serta migrain ketika ditahan di penjara.
Tertuduh juga telah terjatuh dari katil bertingkat menyebabkannya mengalami kecederaan pada tisu lembut dan turut menyifatkan penahanan kali pertama dalam hidupnya sebagai sangat tertekan.
Mahkamah turut diberitahu dua anak lelaki Martha tinggal di sebuah rumah sewa dan sekiranya dia dibebaskan dengan jaminan, tertuduh perlu bergantung kepada wang kebajikan dari Centrelink untuk membayar duit sewa, di samping menyatakan hasrat untuk pulang ke Griffith.
Viney selepas membuat pertimbangan memutuskan untuk menolak permohonan ikat jamin tersebut atas alasan terdapat kemungkinan tertuduh akan melarikan diri bagi mendapatkan ketenangan dengan ahli keluarga yang lain di negeri lain. Kakak Martha, Betty yang kini ditahan di Pusat Pemulihan Wanita Silverwater, Sydney telah menarik semula permohonan serupa.
Hanya Raylene, anak kepada Betty Colt menghadapi satu pertuduhan bersubahat telah dibebaskan dengan jaminan. Keluarga Colt dijangka dibicarakan lewat tahun 2019.
Awal tahun ini, portal berita news.com.au secara eksklusif melaporkan Martha telah memuat naik rakaman video anak-anak lelakinya di Facebook mendakwa anak-anaknya telah didera apabila diletakkan di bawah jagaan kebajikan.











