KUALA KANGSAR 12 Okt. – Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan lima individu maut di Kilometer 255.3 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Sabtu lalu dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah.
Tertuduh, Mohd. Zaidi Di, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noorhidayah Mohd. Saad.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu di bawah pengaruh dadah sehingga tidak berdaya mengawal kenderaannya dan menyebabkan kematian lima individu termasuk seorang bayi di Kilometer 255.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara pada pukul 11.47 pagi 6 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 44(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya yang juga Pengarah Pendakwaan Perak, Azhar Mokhtar manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Azhar memohon mahkamah untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan tertuduh mempunyai 31 rekod saman trafik lampau sejak 1999.
Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan jaminan terhadapnya memandangkan dia penanggung tunggal kepada seorang isteri yang tidak bekerja dan empat anak serta kedua-dua ibu bapa yang telah uzur.
Noorhidayah tidak membenarkan ikat jamin dan mengarahkan lesen tertuduh ditarik serta digantung bermula hari ini sehingga prosiding terhadap kes selesai. – UTUSAN ONLINE











