KUALA LUMPUR 12 Okt. – Gara-gara tidak mahu membayar denda kehilangan kad pengenalan (MyKad), seorang tukang masak membuat laporan palsu dengan mendakwa dirinya disamun tiga lelaki bermotosikal ketika berada di Jalan SP 3/11 Saujana Puchong Batu 14, Puchong dekat sini kelmarin.
Namun tindakan itu tidak berjaya apabila perbuatannya diketahui ketika siasatan polis terhadap lelaki berusia 40-an itu yang kemudiann mengaku membuat laporan palsu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, lelaki tersebut datang ke Balai Polis Bukit Puchong bagi membuat laporan itu pada pukul 4.23 petang.
“Pada mulanya dia memaklumkan sekumpulan tiga lelaki yang menaiki motosikal telah menyamun lelaki itu di lokasi kejadian hingga menyebabkan kehilangan MyKad, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), Touch n Go dan wang tunai sebanyak RM450.
“Namun siasatan pihak polis mendapati lelaki itu membuat laporan palsu kerana mahu mengelak membayar denda kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) disebabkan kehilangan kad pengenalannya,” katanya di sini hari ini.
Azlin memaklumkan, hasil semakan mendapati lelaki tersebut membuat laporan itu sebanyak lima kali dengan tiga daripadanya tercicir manakala dua lagi disamun.
Jelasnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman enam bulan penjara atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai l tidak berbuat demikian hanya semata-mata ingin mengelak daripada dikenakan denda kerana kehilangan kad pengenalan. -UTUSAN ONLINE











