SHAH ALAM – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut selepas dilanggar van sekolah yang dinaikinya di Jalan Rotan Semut, Seksyen 18 di sini petang semalam.
Lebih menyayat hati, kejadian pukul 6.45 petang itu berlaku ketika Ahmad Damian Iqbaal Abdullah berada pada jarak-jarak tiga meter dari depan rumahnya.
Mangsa yang merupakan murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Seksyen 18 disahkan meninggal dunia akibat parah ketika menerima rawatan di Hospital Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian dikatakan berlaku mangsa baharu pulang dari sekolah dan turun daripada van tersebut.
Difahamkan, mangsa kemudiannya telah pergi ke bahagian belakang kiri van bagi membuka kasut dan stokinnya.
“Pemandu van tersebut yang berusia 66 tahun kemudian terus bergerak sebelum terasa seperti terlanggar sesuatu dan memberhentikan kenderaannya sebelum memeriksa perkara tersebut.
“Hasil pemeriksaan pemandu itu mendapati telah melanggar mangsa yang berada di bahagian bawah van,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau menambah, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Shah Alam sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Jelas Baharudin, pemandu van berkenaan kini telah direman selama tiga hari bermula hari ini.
“Kita sedang menyiasat sama ada wujud kecuaian dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











