Gerai laksa beracun diarah tutup - Utusan Malaysia

Gerai laksa beracun diarah tutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan notis perintah tutup premis ke atas sebuah gerai laksa kebok di Kupang di Baling dekat sini kerana disyaki mempunyai kaitan de­ngan 19 kes keracunan makanan termasuk melibatkan dua kematian baru-baru ini.

Penutupan premis tersebut berkuat kuasa pukul 9 pagi kelmarin di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Berdasarkan notis yang dikeluarkan, gerai laksa di Kampung Landak, Kupang itu diarah tutup sehingga kerja-kerja membasmi kuman, serangga, tikus dan apa sahaja keadaan yang menyebabkan bermula serta merebak pe­nyakit berjangkit kepada orang ramai dilakukan dengan sempurna.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, sembilan kes de­ngan dua kematian dilaporkan di negeri Perak manakala 10 lagi kes dilaporkan berlaku di negeri ini.

Beliau berkata, susulan maklumat yang tular di media sosial, KKM memaklumkan menerima satu notifikasi daripada Hospital Gerik, Perak berhubung dua kes keracunan makanan dengan satu kematian pada Sabtu lalu.

“Siasatan lanjut mendapati tujuh kes daripada satu keluarga yang tinggal di rumah sama mengalami gejala demam, cirit-birit dan muntah.

“Mereka dilaporkan telah makan laksa yang dibeli oleh bapa si mati di sebuah gerai di Kupang kira-kira pukul 5.30 petang Khamis lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam kelmarin.

Kata Norhizan, dua lagi kes dimasukkan ke Hospital Gerik pada Ahad lalu dan pesakit me­ngalami gejala keracunan makanan selepas makan laksa yang dibeli di gerai yang sama, juga pada Khamis lalu.

“Satu daripada dua kes tersebut telah dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut, namun pesakit disahkan meninggal dunia pada pukul 2.31 petang Ahad lalu,” ujarnya.

Menurut beliau, sebanyak 10 kes sama turut dilaporkan Pejabat Kesihatan Daerah Ba­ling dan mendapat rawatan di Hospital Baling.

Kosmo! semalam melaporkan dua individu disahkan mening­gal dunia dipercayai akibat keracunan makanan selepas menikmati hidangan laksa kebok di sebuah gerai di Kupang, Baling pada Sabtu lalu.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Abdul Rahim Abdul Manan, 28, dan Raseah Ali Musa, 70.

Laksa kebok diperbuat diperbuat daripada kebok, iaitu alat pemutar tradisional yang menghasilkan laksa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini