MEXICO CITY 9 Okt. – Seorang lelaki bersama pasangannya yang ditahan di Ecatepec dekat sini ketika cuba membawa bahagian tubuh manusia di dalam troli bayi mengaku bersalah membunuh 20 mangsa, dua kali ganda berbanding jumlah yang disyaki sebelum ini.
Pendakwaraya negeri, Alejandro Gomez memberitahu, lelaki terbabit turut mengaku merogol salah seorang wanita selain menjual bahagian tubuh badan mangsa.
Kedua-dua mereka ditahan pada Khamis lalu di Ecatepec atas dakwaan membunuh 10 wanita.
Jelas Gomez, lelaki terbabit turut memberikan maklumat lengkap wanita-wanita berkenaan selain memberitahu penyiasat bahawa dia dan isterinya itu membunuh 10 mangsa lain.
“Pasukan pendakwa kini cuba menentukan sama ada itu benar, atau satu serangan pembunuh bersiri.
“Lelaki itu mahu orang ramai melihat siapa dirinya yang sebenar, tahu siapa namanya. Saya mengklasifikasikan individu ini sebagai pembunuh, pembunuh bersiri,” katanya.
Pasangan itu mengaku menjual bayi berusia dua bulan milik salah seorang mangsa pasangan lain yang juga ditahan bagi membantu siasatan, menurut akhbar El Universal.
Gomez memberitahu, kedua-dua pasangan berkenaan disyaki menghidap masalah mental.
Kes berkenaan mengejutkan Mexico dengan beratus-ratus penduduk berhimpun di Ecatepec bagi mendesak tindakan pihak berkuasa terhadap pelaku keganasan. – AFP











