KUANTAN 9 Okt. – Sebanyak 60 peratus kebakaran yang berlaku di negara ini bermula di rumah dengan 30 peratus daripadanya adalah daripada bahagian dapur.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, Nor Hisham Mohammad berkata, antara punca utama berlaku kebakaran tersebut adalah melalui aktiviti memasak.
Menurut beliau, trend kebakaran juga adalah disebabkan penggunaan peralatan elektrik.
“Penggunaan peralatan elektrik secara serentak turut menyebabkan risiko kebakaran boleh berlaku. Kami menyarankan agar suri rumah mengehadkan penggunaan peralatan elektrik secara serentak agar risiko ini dapat dikurangkan,” katanya sempena pertandingan Bomba Di Dapur di sini hari ini.
Sebanyak 21 pasukan bomba dan penyelamat mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.
Dalam pada itu, Nor Hisham menyarankan agar suri rumah mengetahui cara-cara menangani kebakaran sebelum api merebak dengan lebih marak.
Berhubung program tersebut katanya, usaha itu adalah antara kaedah anggota bomba sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia di balai masing-masing.
“Anggota tidak boleh bebas keluar masuk di balai walaupun untuk membeli makanan justeru, mereka dilatih masak sendiri yang bukan sahaja menjimatkan wang malah hubungan silaturahim antara anggota juga semakin baik,” katanya.











