PADANG SERAI 9 Okt. – Kecewa dan bosan apabila aduan yang dikemukakan kepada pihak berkenaan tidak mendapat maklum balas sewajarnya, penduduk sekitar Kampung Terap Batu dan Kampung Pantai Prai di sini bergotong-royong membaiki jambatan kayu yang rosak serta reput kerana bimbang membahayakan penggunanya.

Naib Presiden Pertubuhan Veteran Perwira Negara Malaysia (PVPNM) Zon Utara, Datuk Noridan Spee Yee berkata, langkah diambil oleh penduduk tempatan sanggup melakukan kerja gotong-royong itu hingga sempurna dan boleh dilalui oleh pengguna, khususnya penunggang motosikal, amat baik sekali.
“Jambatan kayu ini sudah lama dibina iaitu sejak tahun 1989 lagi dan sering rosak akibat kayu reput dan lain-lain.
“Penggunanya sentiasa bimbang bila kayu jambatan itu terutama di kawasan tengah kerap patah di sana sini dan sudah sampai masanya, pihak berkuasa ambil perhatian berat iaitu membina sahaja satu jambatan baharu untuk kemudahan penduduk yang sering berulang-alik di situ,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Imam Masjid Al-Mubarak Pantai Prai, Abdul Samad Wahab, 68, berkata, pihaknya begitu sedih dan terpaksa memanggil penduduk tempatan bergotong-royong sahaja bagi membaikinya kerana masalah jambatan kayu ini tidak berkesudahan.
Menurutnya, sebelum ini pelbagai pihak sering berjanji untuk memperelokkan jambatan itu dengan menyediakan peruntukan khas tetapi sehingga sekarang masih belum juga dilaksanakan.
Seorang penduduk di Kampung Terat Batu, Wahab Yahya, 64, berkata, ramai penduduk dari Tanjung Belit, Guar Lobak dan Sidam Kanan sentiasa menggunakan jambatan ini untuk ke Sungai Petani, termasuk pekerja kilang dari pagi hingga ke malam.
Menurutnya, kerosakan jambatan kayu itu menyebabkan kebanyakan penunggang motosikal terpaksa melalui laluan lain, termasuk melalui jalan Sidam Kiri daerah Kuala Muda dan Pinang Tunggal daerah Seberang Perai Utara (SPU) Pulau Pinang.
Manakala, Mohd. Asri Che Azmi, 50, dari Kampung Pantai Prai berkata, langkah diambil oleh pelbagai pihak, termasuk pengurusan Masjid Al-Mubarak Pantai Prai dengan menghulur bantuan berupa kayu bagi melakukan kerja gotong-royong itu sangat murni.
Seorang suri rumah, Siti Insiah Abdul Wahab, 36, dari Kampung Terat Batu pula berkata, sudah sampai masanya jambatan ini yang terletak antara Kampung Pantai Prai daerah Kuala Muda dan Terat Batu, Padang Serai daerah Kulim diganti baharu.











