ALOR SETAR – Mangsa banjir kilat di tiga daerah di Kedah terus meningkat kepada 501 orang pada sebelah petang berbanding 403 mangsa yang ditempatkan di sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) negeri ini.
Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, Mejar (PA) Imran Azemi berkata, setakat pukul 4 petang ini, tiga PPS masih dibuka di Kota Setar, lima di Baling dan satu di Kubang Pasu manakala PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Siong di Baling yang menempatkan empat orang mangsa sebelum ini telah ditutup kira-kira pukul 3 petang tadi.
Katanya, di Kota Setar, seramai 108 mangsa daripada 30 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah, 79 mangsa (30 keluarga) di PPS SK Gunung, dan 60 mangsa (21 keluarga) di PPS Surau Assyakirin.
Sementara itu, satu PPS baharu dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Banggol Derom bagi menempatkan 56 orang mangsa (14 keluarga).
“Selain itu, turut menempatkan mangsa ialah PPS Dewan Batu 60 dengan 44 mangsa daripada 12 keluarga, PPS Dewan Kampung Weng Luar dengan 31 mangsa (10 keluarga), PPS Dewan Risda Kampung Tanjung Pari dengan 32 mangsa (sembilan keluarga).
“Dewan Orang Ramai Keda Batu 8, pula melibatkan seramai 21 mangsa daripada enam keluarga, dan PPS Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lubuk Batu di Kubang Pasu membabitkan 70 mangsa daripada 19 keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, sehingga kini situasi semasa banjir mendapati air belum surut dan pemantauan masih diteruskan bagi memastikan keselamatan penduduk. – Bernama











