KUALA LUMPUR 9 Okt. – Bandar-bandar di Asia dijemput menyertai inisiatif peringkat global dalam usaha membendung dan mewujudkan kesedaran mengenai kanser, City Cancer Challenge di rantau ini anjuran Union for International Cancer Control (UICC).
UICC berkata, inisiatif itu melibatkan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin kerajaan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan awam serta swasta pada peringkat global bagi meningkatkan akses kepada usaha meningkatkan kualiti rawatan, pengesanan dan penjagaan pesakit kanser di bandar-bandar terbabit.
“Setakat ini, inisiatif ini telah melancarkan jaringan pelaksanaan pelan tindakan setempat di empat Bandar Pembelajaran Utama yang berpotensi menaik taraf penjagaan kesihatan dan rawatan kanser kepada lebih 25 juta orang.
“Pada tahun ini, bandar-bandar di seluruh Asia dijemput menyertai inisiatif ini dalam usaha membendung penyakit tersebut,” kata UICC dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Pertubuhan itu berkata, inisiatif tersebut menyasarkan peningkatan daripada penyertaan empat bandar sedia ada kepada 20 buah bandar, yang merupakan fasa seterusnya bermula awal bulan ini.
“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan skala sokongan kepada bandar-bandar yang mempunyai jumlah penduduknya berjumlah satu juta orang di setiap rantau,” kata pertubuhan itu. – UTUSAN ONLINE











