PORT DICKSON – Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Kan Chee Yuen merayu kerajaan mengkaji semula keputusan menamatkan kontrak MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn. Bhd. (MMC Gamuda) bagi kerja bawah tanah projek Transit Aliran Massa 2 (MRT2).
Kata beliau, keputusan itu akan membawa lebih banyak kerugian berbanding penjimatan dan kerajaan sepatutnya meneruskan rundingan dengan syarikat itu untuk menjalankan langkah rasionalisasi kos seperti mana yang dilaksanakan untuk kerja pembinaan atas tanah MRT2.
“Sekiranya kerajaan benar-benar fokus kepada kepentingan rakyat pasti ada jalan tengah untuk perkara ini, saya difahamkan terdapat 10 buah syarikat yang berpangkalan di Port Dickson terjejas akibat keputusan tersebut.
“Saya faham proses tender semula kerja-kerja bawah tanah bertujuan menjimatkan kos, namun saya percaya kos tersembunyi yang datang hasil daripada proses ini adalah lebih mahal selain merugikan masa,” katanya kepada pemberita di sini petang tadi.
Media baru-baru ini melaporkan keputusan Kementerian Kewangan menamatkan kontrak MMC Gamuda bagi kerja bawah tanah MRT2 mengakibatkan lebih 20,000 kakitangan kehilangan kerja.
Tenaga kerja terlibat adalah daripada rangkaian bekalan meliputi lebih 600 syarikat Malaysia. – K! ONLINE











