SHAH ALAM – Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 di sini, Mohd. Khairul Azman Ismail memenangi Anugerah Ilustrasi ASEAN Kedua Sekretariat Pameran Kandungan Hak Kanak-kanak Antarabangsa (ICCRF) Thailand.
Kemenangan guru pendidikan Islam itu disampaikan pihak sekretariat melalui kiriman emel pada 3 Oktober lalu dan ucapan tahniah daripada Menteri Pendidikan, Maszlee Malik sehari selepas itu.
Hadiah kemenangan akan disampaikan pada 29 November depan di Chiang Mai.
Mohd. Khairul berkata, pencapaian tersebut membuktikan karya rakyat negara ini mampu menerima pengiktirafan di peringkat rantau Asean yang dihuni hampir 500 juta penduduk dunia.
“Ribuan terima kasih kepada Dr. Maszlee Malik yang mengucapkan tahniah atas kejayaan saya ini, saya sungguh terharu.
“Kejayaan ini walaupun telah diumumkan namun saya hanya akan menerima hadiah daripada penganjur hujung November depan di Chiang Mai, Thailand, “katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohd. Khairul berkata, karya yang dimenanginya itu akan menjadi sebahagian Pameran Antarabangsa Bahan Kandungan Hak Kanak-kanak (ICCRF) di Pusat Konvensyen Dan Pameran Antarabangsa Chiang Mai pada 29 November hingga 2 Disember depan.
Jelas beliau, karya yang beliau menang di ICCRF Thailand tersebut adalah sebuah buku bergambar bertajuk “A Big Good Wolf”.
“Ia mengisahkan seekor serigala bernama Wolf yang tidak pandai bergaul dan berkawan.Penampilannya yang kurang menyenangkan membuatkan haiwan lain menjauhkan diri.
“Namun ada sekumpulan haiwan (ayam) yang datang untuk membantu Wof dan mengubah penampilannya. Akhirnya Wof memiliki kawan dan disenangi semua, “katanya. – K! ONLINE











