KUALA LUMPUR 9 Okt. – Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangaan untuk meneliti serta merangka mekanisme yang sesuai digunakan bagi cukai baharu yang bakal diperkenalkan bagi menjana pendapatan negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, sehingga kini kementeriannya masih belum memuktamadkan kaedah atau jenis barangan yang akan dicukaikan.
Bagaimanapun beliau menyangkal andaian netizen yang kononnya cukai barang dan perkhidmatan (GST) mungkin akan dikembalikan semula oleh kerajaan Pakatan Harapan.
“Kita masih mengadakan perbincangan dengan pemegang-pemegang taruh serta pihak-pihak yang berkaitan mengenai cukai baharu itu.
“Barangkali kita akan memperkenalkan cukai-cukai seperti cukai digital dan saya memberi jaminan yang rakyat tidak akan terbeban secara langsung dengan cukai baharu ini,” katanya pada sidang akhbar selepas memberi ucaptama di Persidangan Akautan Antarabangsa Institut Akauntan Malaysia (MIA) 2018 di sini hari ini.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menyampaikan ucaptama Forum Malaysia di Era Baharu anjuran RHB, Maybank dan CIMB, pagi tadi menyatakan kerajaan berhasrat memperkenalkan cukai baharu bagi menjana pendapatan tambahan negara. -UTUSAN ONLINE











