Polis bongkar makmal proses dadah berselindung di sebalik kilang tikar getah - Utusan Malaysia

Polis bongkar makmal proses dadah berselindung di sebalik kilang tikar getah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Polis berjaya membongkar makmal memproses dadah yang berselindung di sebalik kilang membuat tikar getah dan merampas pelbagai jenis bahan terlarang itu yang berjumlah RM200,000 dalam dua serbuan pada 3 dan 4 Oktober lalu.

Dalam serbuan bermula pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari keesokannya, lima lelaki turut ditahan termasuk dua pemilik kilang dan seorang lelaki warga Iraq yang dipercayai ahli kimia.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam serbuan pertama di kilang membuat tikar getah di Telok Gong Pelabuhan Klang di sini, pihaknya berjaya menahan dua lelaki warga Bangladesh berumur 31 dan 32 tahun yang bertindak sebagai penjaga kilang itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut di kilang tersebut, pihaknya berjaya menjumpai 420 gram syabu, Meth Oil (2,385 gram), Ephedrine (20 kilogram) dan bahan kimia serta peralatan memproses dadah.

“Kesemua jenis dadah dan peralatan berkenaan dijumpai dalam sebuah bilik di dalam kilang berkenaan yang dijadikan makmal memproses dadah sejak dua bulan lalu.

“Hasil siasatan mendapati, kilang berkenaan telah beroperasi sejak 2012 dan ini merupakan rampasan terbesar Bahagian Siasatan Jenayah Norkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan bagi tahun ini,”katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Amar berkata, susulan serbuan pertama, pihaknya telah menyerbu sebuah pejabat di kawasan sekitar Cheras dan menahan dua lelaki warga tempatan yang juga pemilik kilang berusia 25 dan 30 tahun.

Turut ditahan di lokasi yang sama seorang lelaki warga Iraq berusia 30 tahun. Polis turut menyita dua buah kereta dan sebauh lori dianggarkan bernilai RM250,000.

“Hasil maklumat risikan pihak polis percaya sindiket ini menggunakan modus operandi kawasan kilang lama dan seakan kilang yang sudah tidak beroperasi dan jauh daripada penempatan awam untuk memproses dadah.

“Taktik itu sekaligus bagi mengelakkan aktiviti mereka di kesan dan kita sedang menyiasat di mana dadah-dadah berkenaan dipasarkan,”ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Amar berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 39 tahun yang juga pengedar dadah di sebuah rumah di kawasan Taman Sentosa dekat sini pada 4 Oktober lalu.

Katanya, dengan serbuan tersebut pihaknya berjaya membongkar satu stor dadah dan merampas dadah jenis syabu seberat 83.90 gram dan 150 biji pil Eramin 5 berjumlah RM14,000.

“Ujian urin yang dijalankan juga mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan polis turut menyita sebuah kereta jenis toyota Vios.

“Hasil maklumat risikan pihak polis percaya dadah-dadah ini untuk pasaran tempatan di sekitar Klang dan kita sedang menyiasat jika ada rangkaian yang lain terlibat dengan suspek,”jelasnya.

Katanya, kes disiasat dibawha Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini