ALOR SETAR – Seramai 403 mangsa daripada 125 keluarga dipindahkan ke sembilan pusat pemindahan yang dibuka di daerah Kota Setar, Kubang Pasu dan Baling sehingga pukul 12 tengah hari ini.
Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, Mejar (PA) Imran Azemi berkata, sebanyak tiga pusat pemindahan dibuka di Kota Setar, lima di Baling dan sebuah di Kubang Pasu.
“Bagi daerah Kota Setar, seramai 233 mangsa daripada 75 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan Surau Al-Syakirin, Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung dan SK Titi Gajah.
“Di kawasan Siong, Baling pula, seramai 104 mangsa daripada 32 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan iaitu Dewan Risda Kampung Tanjung Pari, Dewan Orang Ramai Keda Batu 8, Dewan Kampung Weng Luar, SK Siong dan Dewan Batu 60,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, bagi daerah Kubang Pasu pula, hanya sebuah pusat pemindahan dibuka iaitu di PPK Lubuk Batu membabitkan seramai 66 mangsa daripada 18 keluarga.
Tambahnya, jumlah mangsa banjir meningkat berbanding pukul 11 pagi semalam iaitu seramai 371 mangsa daripada 114 keluarga dipindahkan ke sembilan pusat pemindahan berkenaan. – K! ONLINE











