BUTTERWORTH 9 Okt. – Kerajaan akan mengimport stok ikan tambahan sekiranya berlaku kekurangan bekalan akibat fenomena air laut pasang yang sedang melanda negara.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayob berkata, ketika ini bekalan ikan masih mampu memenuhi permintaan dan masalah berkenaan tidak meruncing.
Katanya, pengguna tidak perlu panik memandangkan kerajaan sudah melakukan persiapan berdasarkan pengalaman tahun sebelumnya.
” Kerajaan akan import bekalan ikan dari negara jiran jika bekalan tidak mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Konvesyen Pengembangan dan Hari Inovasi Veterinar di sini hari ini.
Fenemona air laut pasang besar dijangka berlaku pada hari ini dengan kawasan pantai di Selangor diramal mencecah bacaan paras 5.6 meter sehingga Khamis ini.
Selain Selangor ,kawasan pantai di negeri – negeri utara juga dijangka menerima kesan sama manakala keadaan laut bergelora berbahaya kepada aktiviti nelayan di Selat Melaka. – UTUSAN ONLINE.











