KUALA LUMPUR – Kerajaan mahu membersihkan akaun-akaunnya dan menjadikan sektor awam lebih telus dalam aspek kewangan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Beliau berkata, buat permulaan, kerajaan komited beralih daripada akaun berasaskan tunai kepada perakaunan tertunggak menjelang 2021.
“Langkah ini akan membabitkan tempoh peralihan lima hingga tujuh tahun, dan akan menanam dispilin fiskal yang perlu dalam kerajaan semasa dan akan datang,” katanya dalam ucapan khas pada ‘Malaysia: A New Dawn 2018 Investor Conference’ di sini hari ini.
Guan Eng berkata, sebagai sebahagian daripada pembaharuan fiskal kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan fiskalnya dengan lebih sistematik, Jawatankuasa KewanganAwam telah ditubuhkan dengan mandat untuk menyeimbangkan antara komitmen kerajaan terhadap penyatuan fiskal dan keperluannya untuk membuat perbelanjaan dan pelaburan produktif yang berterusan.
Sebagai contoh, beliau berkata, projek-projek ‘gajah putih’ seperti projek saluran paip pelbagai produk dan projek saluran paip Trans-Sabah, yang dijangkakan membelanjakan lebih daripada RM10 bilion, telah dibatalkan.
“Banyak projek infrastruktur mega yang diperakui sebagai penting untuk produktiviti dan pertumbuhan ekonomi Malaysia, termasuk projek pengangkutan awam berasaskan kereta api seperti Light Rail Transit 3 dan Mass Rapid Transit 2 diteruskan.
“Bagi projek-projek ini, kami mahu meneruskannya, namun kami komited untuk memastikan tidak ada skop yang tidak perlu dan berlebihan, dan pada masa yang sama memastikan kosnya berpatutan,” katanya.
Sementara itu, Guan Eng berkata, dalam mematuhi disiplin fiskal, kerajaan akan membentangkan langkah percukaian baharu pada pembentangan Belanjawan 2019.
“Kami mahu pengoptimuman kos dan usaha untuk meningkatkan pendapatan,” katanya sambil menambah kedudukan fiskal negara memerlukan tiga tahun untuk dipulihkan. – Bernama











