PUTRAJAYA 8 Okt. – Dasar Pengurusan Aset Kerajaan (DPAK) akan dikaji semula selaras dengan cabaran yang dihadapi kerajaan terhadap kedudukan kewangan dan ekonomi semasa.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, kajian semula terhadap dasar yang pertama kali dilancarkan pada 27 Mac 2009 itu juga akan merangkumi kehendak rakyat serta aspirasi kerajaan baharu.
“Contohnya, reka bentuk kebolehsenggaraan diterapkan lebih awal di peringkat perancangan pewujudan aset.
“Dasar ini diharap dapat mengatasi masalah reka bentuk bangunan yang tidak sesuai, mudah disenggara dan seterusnya dapat menjimatkan kos operasi dan penyenggaraan dalam pengurusan aset kerajaan khasnya,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan Konvensyen Pengurusan Aset dan Fasiliti 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











