SHAH ALAM 7 Okt. – Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menyuarakan rasa sedih atas pemergian Tan Sri Hassan Azhari yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar.
Sultan Selangor bertitah, Allahyarham pernah menjadi guru agama kepada baginda dan amat rapat dengan Almarhum ayahanda dan Almarhum nenda baginda.
Titah baginda, Allahyarham juga sering mengiringi baginda dan kerabat diraja Selangor ke Mekah untuk menunaikan haji serta umrah di samping kerap menyampaikan ceramah serta mengajar ilmu-ilmu agama di istana.
“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor ingin mengucapkan takziah kepada waris dan keluarga Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari yang telah kembali ke rahmatullah pada 6 Oktober 2018.
“Semoga roh Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari ditempatkan bersama para solihin.” titah baginda menerusi laman Facebook rasmi Pejabat Istana Selangor hari ini.
Allahyarham Hassan menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.07 petang semalam di Hospital Kuala Lumpur akibat kanser limfoma tahap empat.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin turut berkenan menghadiri majlis pengebumian itu.
Turut hadir Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah dan Tengku Panglima Besar Selangor, Tengku Abdul Samad Shah.
Di atas jasa dan bakti Allahyarham Hassan semasa hayatnya di Selangor, Allahyarham telah dianugerahkan darjah kebesaran Dato’ Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A.) pada 1986 oleh Almarhum Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang membawa gelaran Datuk.











