KUANTAN 7 Okt. – Pakatan Harapan akan melaksanakan pecutan akhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson secara sederhana, mesra rakyat dan berhemah.

Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pecutan akhir kempen bermula esok dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pimpinan utama pakatan berkenaan akan berada di Port Dickson.
Kata beliau, kempen itu dilakukan bagi memastikan calon Pakatan Harapan yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang besar.
“Kita yakin Anwar akan menang, tapi kita tidak angkuh dan menjalankan kempen secara sederhana, mesra rakyat dan berhemah,” katanya selepas merasmikan Seminar Mahkota Bahasa anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Dewan Serbaguna Pusat Dagangan Mahkota di Indera Mahkota di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Datuk Abdul Aziz Salleh dan Pengerusi MCPF negeri, Datuk Seri Johny Ch’ng Ewe Gee.
PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara Anwar, calon Pas, Mohd. Nazari Mokhtar dan bekas Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang bertanding sebagai calon Bebas.
Turut bertanding sebagai calon Bebas bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Stevie Chan Keng Leong, Lau Seck Yan dan Kan Chee Yuen.











