Mahu jadi pusat rujukan bomba di seluruh negara - Utusan Malaysia

Mahu jadi pusat rujukan bomba di seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERIK matahari seakan-akan membakar kulit wajah, Azhar Yahya, 33, meskipun jam baru membidik ke angka 11 pagi.

Di penjuru padang, seorang pelatih bomba dilihat sedang berlari sambil memikul sebatang kayu balak sepanjang 2 meter seberat 20 kilogram.

Reaksi wajah yang kelihatan penat itu tidak sesekali mematahkan semangat lelaki berbadan tegap itu untuk meneruskan larian sebanyak 30 pusingan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Siapa sangka, kenangan 13 tahun lalu itu merupakan sebahagian daripada kisah hidup bekas pelatih di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM), Wilayah Tengah di Kuala Kubu Bharu, Selangor itu.

“Saya anggap peristiwa itu sebagai pembakar semangat untuk menjadi seorang anggota bomba yang berdisiplin dan bertanggungjawab.

“Lagipun, itu merupakan denda yang dikenakan kepada pelatih yang melakukan kesalahan,” kata Azhar.

Jurulatih ABPM Wilayah Tengah itu berkongsi pengalaman dalam bidang kebombaan ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di Jalan Padang Tembak, Kuala Kubu Bharu (KKB) baru-baru ini.

Pemuda yang berasal dari Bukit Katil, Melaka itu berkata, minatnya untuk menjadi anggota bomba berputik sejak umurnya 18 tahun ekoran kekagumannya melihat jentera bomba yang digunakan untuk memadam kebakaran.

Impian

“Keinginan saya untuk memandu jentera yang hebat itu membuak-buat pada ketika itu. Namun, saya perlu menjadi anggota bomba jika mahu merealisasikan impian itu.

“Selain itu, ia merupakan sebuah jentera yang boleh dianggap sebagai ‘hero’ untuk memudahkan operasi memadam kebakaran.

“Alhamdulillah, kini saya berjaya naik dan memandu jentera itu kerana saya juga menjadi salah seorang pemandu di akademi ini,” jelas Azhar yang menjadi anggota bomba secara rasmi sejak tahun 2005.

Beroperasi sejak tahun 1972, ABPM merupakan sebuah pusat merancang dan melaksanakan latihan perkhidmatan pegawai serta anggota bomba dalam bidang kebombaan berdasarkan skim perkhidmatan.

APBM Wilayah Tengah yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Latihan Bomba merupakan akademi latihan bomba pertama di Malaysia yang ditubuhkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ia ditubuhkan selepas Pusat Latihan Bomba Gombak, Selangor 1957.

Bagaimanapun, JPBM kini mempunyai empat lagi akademi latihan lain iaitu ABPM Wilayah Sarawak di Bau (Sarawak), ABPM Wilayah Sabah di Sepanggar (Sabah), ABPM Wilayah Timur di Wakaf Tapai (Terengganu) dan APBM Wilayah Utara di Tronoh (Perak).

Komandan APBM Wilayah Tengah, Md. Ali Ismail berkata, ABPM Wilayah Tengah merangkumi tiga bahagian utama iaitu pentadbiran, kuarters anggota dan penginapan pelatih serta simulasi latihan.

Jelasnya, ABPM Wilayah Tengah merupakan akademi yang melatih pegawai kanan bomba dalam Kursus Diploma Lanjutan Sains Kebombaan (KDLSK) Gred KB 41 dan Kursus Diploma Sains Kebombaan (KDSK) dan Gred KB29.

“Akademi ini mampu menampung seramai 300 orang pada satu masa untuk membuat latihan.

“Namun, biasanya kami menerima purata 80 orang pelatih setiap tahun untuk menamatkan latihan dalam kursus tersebut,” katanya yang telah berkhidmat lebih dua dekad bersama JBPM.

Setiap pelatih akan mempelajari lima pengajian utama ABPM meliputi aspek memadam kebakaran, menyelamat, keselamatan kebakaran, pengajian siasatan dan pengurusan kebombaan.

“Sebenarnya, ramai anggota bomba yang kini menjawat jawatan tinggi dalam JBPM lahir daripada akademi ini. Kesemua mereka mengenali asas kebombaan bermula di ABPM Wilayah Tengah.

“Selain itu, kami juga mempunyai jurulatih-jurulatih berpengalaman dan berkemahiran tinggi untuk melatih anggota-anggota bomba,” ujarnya.

Kejayaan

Antara pencapaian terbaru anak-anak didik ABPM Wilayah Tengah ialah apabila Rozizah Abni Hajar, 49, dilantik sebagai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu berkuat kuasa pada 2 Januari lalu.

Md. Ali menambah, pihaknya juga kini giat menganjurkan kursus-kursus kebombaan kepada orang awam. Antaranya ialah mempelajari teknik-teknik memadam kebakaran dan penyelamatan.

Pada masa sama, mereka juga berusaha untuk memastikan KDLSK Gred KB41 dan KDSK Gred KB29 diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia agar boleh ditawarkan kepada anggota-anggota bomba luar negara.

Selain itu, beliau turut berhasrat untuk menjadikan ABPM Wilayah Tengah sebagai pusat kecemerlangan yang pakar dalam operasi bahan berbahaya (Hazmat).

“Saya mahu menjadikan akademi ini sebagai pusat rujukan kepada semua anggota bomba di seluruh negara termasuk anggota bomba dan jabatan-jabatan lain.

“Sekiranya berlaku bencana yang melibatkan bahan kimia, kami sedia berkhidmat,” jelasnya.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Md. Ali ialah ketika terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Panjang Ruan Changkor, Simunjan Sarawak pada tahun 1998.

“Kejadian itu mengorbankan 14 orang. Perkara yang paling menyayat hati saya adalah ketika terjumpa mayat seorang bayi yang sedang menyusu dan masih berada di pangkuan ibunya,” kenangnya ketika berkhidmat selama lapan tahun di Sarawak.

Sementara itu, seorang lagi jurulatih, Pegawai Bomba Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa, 36, berkata, setiap lima pengajian yang ditawarkan di akademi tersebut mengandungi beberapa submodul daripada modul-modul utama.

“Setiap satu daripadanya mengambil masa antara lima hingga 10 hari untuk dilengkapkan, bergantung kepada kategori seperti bahagian asas, lanjutan atau kejurulatihan.

“Tahun ini dianggarkan seramai 3,700 yang mengikuti kursus di akademi ini yang melibatkan semua anggota, pelatih dan orang awam,” kata Mohd. Fakhrul Munir yang juga anggota khas Payung Terjun JBPM.

Terdapat dua kursus utama di akademi itu bagi pelatih baharu iaitu (KDLSK) Gred KB41 dan (KDSK) Gred KB29.

Ujarnya, mereka akan dilatih sehingga tamat Latihan Asas Kebombaan KDLSK dan KDSK selama 180 hari bekerja.

Anggota Multi Skill Team JBPM itu berkata, dalam kursus tersebut, modul fizikal yang wajib dilakukan oleh pelatih adalah kawad kaki, kawad operasi, tatacara penggunaan alat pernafasan, mencari dan menyelamat serta penyelamatan.

Kawad operasi

“Sepanjang pengalaman saya menjadi jurulatih, modul fizikal yang paling sukar dikuasai ialah kawad operasi.

“Ini kerana ia memerlukan ketahanan fizikal dan mental. Pelatih akan membawa hos untuk memadam kebakaran seperti dalam operasi sebenar,” tuturnya yang sudah berkhidmat selama 13 tahun bersama JBPM.

Pada masa yang sama, Mohd. Fakrul Munir memberitahu, ABPM Wilayah Tengah juga aktif mengadakan program-program sukan seperti berbasikal, berkayak dan mendaki gunung hingga ke peringkat antarabangsa.

Tambahnya, kesemua aktiviti terbabit dianjurkan oleh Kelab Sukan Kebajikan dan Kebudayaan akademi itu.

Kelab itu telah berjaya mengembara melebihi 20 buah negara antaranya, Indonesia, Filipina, Jepun, Australia, Nepal dan Vietnam.

ABPM Wilayah Tengah yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Latihan Bomba merupakan akademi latihan bomba pertama di Malaysia yang ditubuhkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini