JAKARTA 7 Okt. – Sekurang-kurangnya 5,000 orang dipercayai hilang daripada dua kawasan di Palu, lebih seminggu selepas bandar itu dilanda bencana berganda, gempa bumi dan tsunami, sekali gus menjadi petunjuk lebih banyak mangsa terbunuh berbanding angka korban setakat ini.
Jurucakap agensi pengurusan bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho berkata, mereka telah menemukan sebanyak 1,763 mayat akibat gempa bumi berukuran 7.5 Richter dan tsunami yang melanda Sulawesi 28 September lalu.
Namun terdapat kebimbangan dua kawasan perumahan terjejas teruk bencana di Palu iaitu Petobo dan Balaroa masih memerangkap ribuan lagi mangsa yang ditelan bumi semasa insiden tanah jerlus itu berlaku.
Sutopo berkata, berdasarkan laporan daripada ketua kampung di Balaroa dan Petobo, terdapat 5,000 orang masih belum dijumpai.
“Bagaimanapun, pegawai kerajaan di Palu masih cuba mengesahkan perkara ini dan mengumpulkan data.
“Agak sukar untuk mengetahui angka sebenar mereka yang terperangkap akibat tanah runtuh atau pencairan atau lumpur,” kata jurucakap agensi itu, Sutopo Purwo Nugroho, hari ini.
Sutopo berkata, operasi mencari mangsa gempa akan diteruskan sehingga 11 Oktober ini pada satu tahap mereka akan disenaraikan sebagai hilang dan dianggap meninggal dunia.
Katanya, sisa serpihan struktur bangunan dan kediaman daripada lokasi terjejas akan dibuang dan ia akan dijadikan sebagai kawasan awam seperti taman dan venue sukan.
“Kami tidak mahu komuniti ditempatkan di lokasi yang berbahaya seperti itu,” katanya.
Angka itu meningkatkan secara mendadak anggaran bagi orang hilang sejak bencana tersebut berlaku 10 hari lalu selepas jurucakap kerajaan menganggarkan 1,000 orang tertimbus di sebalik runtuhan Palu.
Malah, harapan untuk menemukan mangsa masih hidup semakin tipis ketika pihak berkuasa hampir pasti untuk menghentikan operasi bagi mencari mangsa selain mengisytiharkan kawasan itu sebagai kubur besar.
“Ini hari ke-10 dan agak ajaib untuk menemukan individu yang masih hidup,” kata ketua agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Muhammad Syaugi.
Dalam perkembangan berkaitan, bantuan mencurah-curah mula tiba di Palu hari ini ketika usaha diperhebatkan untuk membantu 200,000 penduduk yang memerlukan bantuan segera ekoran bencana berganda itu yang setakat ini meragut 1,649 nyawa.
Bantuan makanan, air bersih dan pelbagai keperluan lain dari Australia dan Amerika Syarikat (AS) tiba dengan pesawat tentera Hercules manakala pesawat sewa khas pertubuhan Save The Children juga dijangka tiba hari ini.
Lebih 82,000 anggota tentera, orang awam serta sukarelawan memasuki Palu bagi membantu mangsa ketika helikopter tentera membuat penghantaran bantuan makanan ke kawasan terpencil yang sebelum ini tersekat oleh bencana berganda itu.
Namun pasukan penyelamat berdepan laluan sukar menghantar bantuan barang keperluan ke kawasan terjejas dengan hanya beberapa penerbangan terhad memaksa mereka menggunakan jalan darat yang sukar. – AFP











