MUAR 7 Okt. – Sebanyak 200 keluarga daripada golongan kurang berkemampuan menerima sumbangan menerusi penganjuran Free Market Parit Raja, Grisek, di sini baru-baru ini.
Penerima berkenaan datang dari lima buah kampung berdekatan Parit Raja dan menerima barangan basah dan kering bertujuan meringankan beban terutama penduduk luar bandar.
Mereka merupakan warga emas selain penduduk yang mencari rezeki sebagai penoreh getah dan bekerja kampung untuk menampung keperluan pendapatan keluarga masing-masing.
Program kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Free Market Johor di luar kawasan Johor Bahru itu melibatkan 50 sukarelawan setempat termasuk juga dari daerah Johor Bahru.
Tiada jual beli, tiada pertukaran barter dan semuanya percuma, itu adalah moto Free Market Parit Raja yang diadakan di pekarangan Masjid Al-Ansor, Parit Raja.
Menurut Zaharah Raishan Mohd. Yassin, 48, program itu adalah yang terbaharu dan selepas ini dirancang untuk diadakan di Pontian dan pihaknya sedang mengenal pasti lokasi sesuai.
Beliau yang mengetuai Free Market Johor sejak 2015 berkata, kerja amal sudah mekar dalam jiwa sukarelawan dan semangat untuk membantu golongan susah sentiasa subur.
“Kami adakan kumpulan perbincangan dalam aplikasi WhatsApp untuk program ini dan sentiasa mengemas kini sumbangan diterima daripada mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui.
Beliau bersyukur kerana Free Market Johor semakin dikenali dan banyak aktiviti sosial, kebajikan dan kemasyarakatan dijalankan pihaknya secara bersama-sama.
“Saya percaya, ada ramai orang yang tersepit dalam hidup dan mereka memerlukan pendekatan berbeza untuk dibantu, khususnya membabitkan golongan miskin bandar dan mualaf,” katanya.











