PORT DICKSON 7 Okt. – Di sebalik jadual kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang ketat hari ini, calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih sempat menghadiri program santai bersama lebih 400 anak muda di sini.
Program Motivasi Santai Bersama Datuk Fazley Yaakob dan persembahan seni manisan, Sweet Table anjuran Yayasan Aman di pekarangan sebuah hotel di sini bertambah meriah dengan kehadiran Anwar.
Para peserta program terdiri daripada pelajar sekolah menengah, kolej komuniti dan politeknik di negeri ini.
Dalam ucapan ringkasnya, Anwar berkata, Fazley yang juga seorang penyanyi dan cef selebriti menjadi individu kebanggaan negara dan terkenal bukan saja di Malaysia malah serata dunia.
“Saya ucapkan tahniah kerana Fazley adalah individu luar biasa bakatnya dan terkenal di Malaysia dan serata dunia,” katanya.
Beliau kemudiannya dihidangkan dengan menu yang tular dalam kalangan peminat Fazley di Instagram dan Facebook iaitu Sweet Table.
Ia menawarkan pelbagai jenis pencuci mulut seperti kek, pisang goreng dan aiskrim yang dihidangkan di atas meja.
Fazley berkata, beliau gembira dengan kehadiran Anwar pada majlis itu walaupun tanpa jemputan secara formal.
“Apabila Anwar datang dan beliau membuat Sweet Table, orang teruja untuk merasa, tadi saya sediakan 600 pek juadah dan semuanya habis,” katanya.
Di samping menyampaikan ceramah motivasi, jelasnya, beliau juga memberi peluang kepada peserta program menikmati pencuci mulut yang disediakan.
“Saya juga berasal dari negeri ini dan ini sumbangan saya semua untuk orang yang datang ke program saya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











