KOTA BHARU – Ibu kepada Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah iaitu Tengku Chik Tengku Ibrahim, 81, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada pukul 1.25 pagi tadi.
Mohd. Amar yang merupakan anak sulung arwah dari 12 beradik berkata, ibunya dirawat di HUSM selama kira-kira sebulan kerana masalah paru-paru berair.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir menziarahi arwah sama ada di hospital mahupun di rumah. Saya mohon doakan keampunan untuk ‘chek’ dan jika arwah ada berhutang dengan sesiapa harap berjumpa dengan saya,” katanya di sini hari ini.
Antara yang hadir adalah Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.
Allahyarham Tengku Chik selamat dikebumikan pada pukul 2.15 petang di Tanah Perkuburan Masjid Al-Amani, Pondok Tok Ayah Kedah, Kampung Panchor di sini hari ini.
Terdahulu, solat jenazah yang ditunaikan lebih 700 jemaah telah diimamkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub.
Allahyarham Tengku Chik yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Mak Ku’ dalam kalangan masyarakat merupakan cucu kepada Raja Dewa (Tengku Long Zainal Abidin) dan cicit kepada Sultan Muhammad III. – K! ONLINE.











