KUALA NERUS – Tiga pelajar parah manakala 10 lagi cedera ringan selepas van sekolah yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik dalam satu kemalangan di Jalan Bukit Tunggal di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.15 pagi tadi apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah Jalan Padang Air menghala ke pusat bandar cuba mengelak kenderaan lain lalu melanggar belakang van berkenaan.
“Ia mengakibatkan van tersebut terbabas dan terbalik manakala kenderaan pacuan empat roda pula melanggar pokok di atas pembahagi jalan.
Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan susulan. Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mangsa merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu dan yang turut cedera ialah pemandu van terbabit manakala pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan. – Bernama











