PORT DICKSON 7 Okt.- Kesemua pemimpin utama daripada gabungan parti Pakatan Harapan (PH) telah mengesahkan kehadiran bagi membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang ditandingi Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam esok.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, selain Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad, turut dijangka hadir dalam program ceramah tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
“Itu bermaksud kita ada lengkap pimpinan utama daripada gabungan PH yang telah mengesahkan kehadiran mereka pada esok malam.
“Acara akan bermula seawal pukul 8 malam dan akan berakhir sekitar pukul 11.30 malam. Persiapan telahpun dibuat dari segi mobilisasi dan kita harap majlis esok akan dapat sambutan kerana ini adalah acara penting terutama dengan kehadiran Dr. Mahathir membantu kempen kita,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH, Parlimen Port Dickson di sini hari ini.
Menurut Saifuddin, bakal berlangsung di hadapan Bilik Gerakan Utama PH di PD Waterfront di sini dijangka lebih 10,000 orang hadir dalam ceramah mega tersebut.
“Kehadiran pimpinan PH ini diharapkan dapat menampakkan solidariti bersama calon PH yang bertanding selain
berharap dengan kehadiran Dr. Mahathir boleh mewujudkan lebih keterujaan kepada rakyat dan pengundi untuk turun bersama pada majlis berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











