KUCHING – Seorang gadis maut selepas motosikal jenis Honda EX5 yang ditungganginya terbabas ke dalam parit di Simpang Kampung Semban, dekat Padawan awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 3.28 pagi itu, Felicia Freda George, 20, maut di tempat kejadian manakala rakannya, Ennasthasa Lydia Pika, 22, cedera ringan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang tidak bekerja sedang dalam perjalanan ke Kampung Braang Bayur di sini.
“Bagaimanapun, motosikal ditungganginya hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit sedalam hampir dua meter.
“Kedua-dua mangsa ditemui dalam parit itu dengan Felicia mengalami kecederaan parah di kepala manakala rakannya cedera di kaki dan badan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa berkemungkinan tidak nampak jalan berkenaan memandangkan keadaan gelap.
Namun katanya, siasatan masih lagi diteruskan bagi mengetahui punca kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K ONLINE!











