PKR: Kecoh kerana sabotaj risalah calon - Utusan Malaysia

PKR: Kecoh kerana sabotaj risalah calon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Okt. – Pemilihan PKR di Cabang Setiawangsa pagi ini kecoh seketika apabila risalah calon-calon daripada kem calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli cuba disabotaj oleh pihak yang tidak dikenal pasti.

Dalam risalah tersebut, wajah calon Naib Presiden daripada kem Rafizi, Datuk Johari Abdul ditampal dengan pelekat nombor calon lain iaitu Dr. A. Xavier Jayakumar bagi mengelirukan ahli-ahli PKR yang buat pertama kalinya mengundi melalui sistem elektronik atau e-voting.

Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Setiawangsa, Khairul Khairi Ismail berkata keadaan itu membuatkan para petugas daripada kem Rafizi kelam kabut untuk mendapatkan kembali risalah yang disabotaj tersebut, namun tidak mahu menuduh mana-mana pihak yang melakukan sabotaj tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika ini, kita memantau setiap risalah yang diterima oleh ahli di pintu masuk kawasan mengundi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementera itu di Cabang Batu, proses pemilihan parti kerajaan itu berjalan lancar.

Calon Ketua Cabang tersebut, Tian Chua yakin proses pengundian akan berjalan dengan lancar meskipun banyak pihak yang cuba mengelirukan ahli-ahli PKR berhubung pertembungan pemimpin-pemimpin parti tersebut.

“Isu utama ialah kononnya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad cuba menghalang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Namun kini perkara itu tidak benar sama sekali,” katanya.

Bagaimanapun proses pengundian di cabang beliau berlaku sedikit kekecohan kononnya bukan ahli PKR dapat mengundi, namun petugas pemilihan berjaya mengawal keadaan dan meminta pihak yang tidak berpuas hati boleh membuat bantahan rasmi.

Pemilihan PKR peringkat Wilayah Persekutuan berlangsung hari ini bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang, membabitkan 13 Cabang dan lebih 30,000 ahli parti yang layak mengundi.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini