KUALA LUMPUR 6 Okt.- Sebuah pusat hiburan elit seolah-olah mahu mencabar undang-undang negara apabila diserbu buat kali ketiga oleh Jabatan Imigresen Malaysia, di Cheras di sini, awal pagi tadi.
Dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi itu, sebanyak 31 wanita warga Vietnam dipercayai pelayan pelanggan (GRO) dan juga empat lelaki warga Bangladesh yang bekerja di premis berkenaan ditahan.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, ketika serbuan, semua wanita dan lelaki di premis tersebut cuba melarikan diri melalui beberapa laluan rahsia dan juga pintu belakang premis namun tindakan itu berjaya digagalkan oleh pegawai serbuan.
“Turut ditahan adalah empat wanita warga tempatan disyaki bekerja sebagai juruwang dan penyelia yang menyelia aktiviti tidak bermoral kesemua warga asing di pusat hiburan itu.
“Hasil siasatan awal, wanita Vietnam yang bekerja sebagai GRO boleh mendapatkan ‘tips’ RM400 hingga RM500 dalam sehari dan mereka mampu mengumpul wang tunai sebanyak RM5,000 hingga RM6,000 dalam tempoh sebulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – UTUSAN ONLINE











