KUALA KANGSAR- Lima individu termasuk seorang bayi ditemui rentung dalam kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dengan lori yang membawa muatan bijih besi di Kilometer 255.6 Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara selepas Terowong Menora di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd. Taufiq Abd. Sattar mengesahkan kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi tadi selepas kesemua mangsa berjaya dikeluarkan daripada sebuah kereta yang terbakar.
Jelasnya, bagaimanapun, identiti kesemua mayat itu masih belum dikenalpasti.
“Dalam operasi menyelamat, kita menemui empat mayat orang dewasa dan seorang bayi yang hangus di dalam kereta tersebut.
“Bagaimanapun, mayat bayi itu ditemui dalam keadaan tertindih di bawah mayat lain,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Tambahnya, kerja-kerja menyelamat mangsa kini sedang dijalankan. – K! ONLINE











