Anak kuda belang pertama dilahirkan di Lost World of Tambun - Utusan Malaysia

Anak kuda belang pertama dilahirkan di Lost World of Tambun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Anak kuda belang jantan pertama yang lahir di dalam negara pada tahun ini secara rasmi dipertontonkan kepada orang awam di Lost World of Tambun (LWOT) di sini bermula hari ini. 

Pengurus Besar LWOT, Nurul Nuzairi Mohd. Azahari berkata, pihaknya berbesar hati memperlihatkan anak kuda belang berusia hampir sebulan itu kepada orang ramai sempena sambutan Hari Haiwan Sedunia yang disambut di taman tema itu bermula kelmarin sehingga hari ini.

“Kami sangat gembira apabila mengetahui kuda belang betina, Zoey yang berusia tiga tahun ini bunting selepas dua tahun bersama dengan pasangannya, Zack yang berusia empat tahun di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Zoey akhirnya melahirkan seekor anak jantan secara normal pada 11 September lalu dan hari ini kami secara rasmi mempertontonkan anaknya kepada pengunjung LWOT,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir Majlis Sambutan Hari Haiwan Sedunia di LWOT di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Pemangku Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Wan Shaharuddin Wan Nordin.

Menceritakan lanjut mengenai anak kuda belang yang diberi nama Zuzu oleh salah seorang pengunjung LWOT, Zuzu kini hanya akan minum susu ibunya dalam tempoh enam bulan.

“Veterinar LWOT menjaga Zuzu dan ibunya dengan rapi setiap masa sejak ia bunting agar haiwan tersebut selesa dengan keadaan di sini sehingga mampu melahirkan anaknya dengan tenang,” katanya. 

Sementara itu, Wan Shaharuddin dalam ucapannya berkata, sempena Hari Haiwan Sedunia ini, pihaknya berharap orang ramai boleh bersama-sama Perhilitan mencegah sebarang aktiviti perdagangan haiwan liar. 

“Kebelakangan ini, aktiviti perdagangan hidupan liar ini berlaku begitu rancak sehinggakan kegiatan haram ini berada di tangga ke-4 paling banyak selepas pengedaran dadah, penjualan senjata api dan perdagangan manusia.

“Kita berharap dengan kempen-kempen yang diadakan pelbagai pihak termasuk kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan serta pihak swasta dapat memberi kesedaran kepada orang ramai dalam usaha membanteras aktiviti perdagangan hidupan liar,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini