PORT DICKSON – Semua syarikat telekomunikasi (Telco) yang menawarkan pakej perkhidmatan internet perlu memastikan pengguna mendapat kelajuan internet seperti yang ditawarkan dalam pakej-pakej mereka, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.
Katanya, kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memantau perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya jika kelajuan internet yang dinikmati pelanggan tidak sama seperti yang dijanjikan dalam pakej.
“Semua Telco ini kena faham, bila mereka mengeluarkan pakej baharu, mereka sebut dengan kelajuan yang lebih tinggi dan kos lebih rendah, jadi mereka kena pastikan bahawa kelajuan yang pelanggan dapat selaras dengan apa yang dijanjikan.
“Jadi saya minta mereka tingkatkan pemantauan mengenai perkara ini, ‘mereka perlu periksa bahawa kelajuan yang dinikmati pelanggan adalah kelajuan yang mereka kata pelanggan akan dapat seperti dinyatakan dalam pakej mereka. Saya juga minta syarikat Telco untuk wujudkan biro aduan dan aduan ini mesti dikaji secara mendalam, cepat dan efektif,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau turut menggesa syarikat telekomunikasi untuk mengkaji semula pakej-pakej internet lama yang ditawarkan kepada pelanggan masing-masing supaya dapat dikurangkan harga. – Bernama











