KBS akan bertindak tegas - Utusan Malaysia

KBS akan bertindak tegas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bertegas untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika wujud unsur penyelewe­ngan dan rasuah dalam pelaksanaan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beberapa aduan telah diterima selepas dipercayai wujud unsur ketirisan melibatkan kontraktor yang dilantik untuk membangunkan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang meskipun diberikan dana sebanyak RM85 juta.

“Saya sangat serius dalam perkara ini kerana apabila saya bertemu Lim Teong Kim yang juga Pengarah AMD, barisan pegawai dan kejurulatihan, semua menyuarakan masalah yang sama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apabila kita sedang memberi fokus mengenai isu-isu yang besar (memartabatkan bola sepak negara), perkara asas seperti bola pun masih tidak mencukupi meskipun te­lah diberikan dana yang besar.

“AMD sepatutnya menjadi pusat kecemerlangan yang sama taraf dengan akademi di Jerman, Jepun dan Korea Selatan, namun sebaliknya berlaku apabila wujud banyak kelemahan,” katanya selepas sesi town hall NFDP di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin.

Pada majlis tersebut, Syed Saddiq bertukar pandangan dan kritikan dengan lebih 300 orang yang terdiri daripada bekas pemain, jurulatih dan ibu bapa pemain-pemain NFDP yang hadir pada sesi yang berlangsung lebih hampir sejam itu.

Mengulas lanjut, Syed ­Saddiq mengakui akan mencari maklumat sehingga ke ‘lubang cacing’ mengenai kontraktor yang diberikan tanggungjawab AMD kerana wang RM85 juta yang dibayar sejak 2014 untuk mendapatkan kemudahan yang serba moden tidak dipenuhi.

“Saya mendapat aduan bahawa banyak kemudahan tidak disiapkan dengan baik, seperti padang tidak mengikut spesifikasi yang diiktiraf, bola tidak mencukupi dan kemudahan asas seperti televisyen dan internet pun tiada.

“Saya sudah bincang dengan ISN (Institut Sukan Negara) dan mereka akan beri panduan sepenuhnya mengenai aspek nutrisi pemakanan dan fisioterapi. Namun, masalah yang dihadapi adalah isu tempat tinggal kerana saya sudah merancang untuk menghantar enam pegawai ISN sepenuh masa di sana,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini