SERI KEMBANGAN – Kerajaan dijangka memperkenalkan pembiayaan dalam Bajet 2019 untuk menggalakkan syarikat mengguna pakai automasi sebagai persediaan Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0).
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming berkata, bantuan kewangan itu akan disediakan sejajar dengan pelancaran Pelan Tindakan Revolusi Industri 4.0 oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada akhir bulan ini.
“Selepas pelan tindakan (itu diumumkan) kita boleh melaksanakan jelajah untuk membantu industri, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bagi mengguna pakai automasi.
“Ini penting kerana automasi adalah satu daripada ciri utama Industri 4.0 dalam mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing,” katanya kepada pemberita selepas pembukaan Top Holiday Hotel dan Top Happiness Grand Ballroom di Mines 2 di sini, hari ini.
Bajet 2019 dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada 2 November ini.
Terdahulu, dalam ucapan, Kian Ming berkata, syarikat pemula niaga, PKS serta firma multinasional perlu memanfaatkan sepenuhnya bantuan kewangan khas yang disediakan oleh kerajaan menerusi agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia. – Bernama











