KLANG – Tindakan seorang pengusaha premis pakaian terpakai menjual barangan jenama antarabangsa tiruan pada harga asal membawa padah apabila premis tersebut diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor semalam.
Premis yang terletak di Jalan Meru, di sini itu diserbu kira-kira pukul 12 tengah hari dan pihak berkuasa telah merampas sebanyak 146 unit pakaian termasuk beg dan tali pinggang dianggarkan bernilai RM94,000.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata, serbuan tersebut dilakukan hasil risikan dan maklumat awam yang diterima berkaitan kegiatan premis berkenaan.
“Hasil siasatan serta pemeriksaan dilakukan mendapati premis disyaki menjual barangan beg dan aksesori jenama antarabangsa terkenal itu disyaki tiruan, namun dijual pada harga barangan yang asli.
“Pekerja kedai tersebut mendakwa barangan yang dijual di kedai itu adalah asli dan dibeli dari luar negara, bagaimanapun dia gagal menunjukkan sebarang bukti berkaitan keaslian barangan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azman berkata, siasatan awal pihaknya mendapati barangan tiruan tersebut dijual pada harga antara RM500 hingga RM4,000 seunit.
Beliau berkata, pihaknya kemudiannya merampas barangan tersebut dan telah membawanya ke stor penyimpanan KPDNHEP Selangor untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) kerana membekalkan atau menawarkan apa-apa barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu.
Jika sabit kesalahan individu terlibat boleh didenda maksimun RM10,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, manakala jika premis dimiliki oleh syarikat, pemilik syarikat boleh didenda maksimum RM15,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya. – K! ONLINE











