KUALA LUMPUR 5 Okt. – Segmen Busking Bersama Buskers yang dibawakan secara live dari Panggung Utusan kembali pada petang ini dengan kumpulan jemputan, Afad & Friends.
Afad yang suatu ketika dahulu pernah bergerak sebagai salah seorang anggota dalam kumpulan nasyid kontemporari, Raihan, telah menubuhkan sebuah kumpulan baharu kerana merasakan perlu meneruskan perjuangan lagu-lagu bersifat kerohanian dalam industri muzik tanah air.
Tampil dengan konsep busking, Afad & Friends petang ini telah menyediakan 10 buah lagu menarik untuk menghiburkan para pelayar Utusan Online dan pengikut segmen hiburan Busking Bersama Buskers yang dihoskan oleh pengacara, Apak.
“Insya-Allah, pada petang Jumaat ini, kita akan berhibur secara santai dengan kami. Untuk pengetahuan semua, anggota dalam kumpulan ini terdiri daripada pemuzik profesional dan telah mengadakan banyak persembahan mengiring Raihan dalam dan luar negara,” kata Afad.
Selain Afad, lain-lain anggota dalam kumpulan termasuk Ijan dan Mai (percuccion), Lone (bass) dan Fuad (akordian/keyboardist). – UTUSAN ONLINE











