JOHOR BAHRU 5 Okt. – Dua lelaki berusia 37 dan 48 tahun ditahan polis kerana disyaki melakukan penipuan membabitkan wang berjumlah RM550,000 dengan menggunakan nama Institusi Diraja negeri ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kedua-dua suspek menipu seorang mangsa yang mahu membuat pembayaran tunggakan bil air syarikat mangsa.
Katanya, suspek masing-masing ditahan di Pontian dan Skudai.
“Mangsa menyamar sebagai seorang pegawai sebuah syarikat korporat dan mempunyai hubungan rapat dengan Institusi Diraja negeri.
“Suspek menawarkan kepada mangsa untuk membantu menyelesaikan isu pembayaran tunggakan bil air syarikat mangsa sebanyak RM550,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.
Tambah Shahurinain, mangsa kemudian membuat semakan dengan pihak syarikat korporat terlibat dan mendapati tiada sebarang pembayaran dibuat.
Sehubungan itu, kedua-dua suspek kini dikenakan tahanan reman. – UTUSAN ONLINE











