Jambatan sementara Pulau Setelu tenggelam lagi - Utusan Malaysia

Jambatan sementara Pulau Setelu tenggelam lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 5 Okt. – Jambatan Sementara Pulau Setelu yang menghubungkan jalan Gua Musang – Jeli ditutup kepada semua kenderaan selepas ditenggelami air Sungai Nenggiri akibat hujan di kawasan pedalaman sejak awal pagi tadi.

Seorang pengguna jalan raya, Nor Ashima Ramli, 26, berkata, pengguna perlu berhati-hati dan tidak melalui jambatan tersebut.

Katanya, air mungkin akan semakin meningkat  dan terdapat sisa kayu turut melekat pada jambatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Urusan penduduk di 10 buah kampung sekitar tergendala buat kesekian kalinya apabila jalan untuk ke bandar Gua Musang itu ditutup sepenuhnya sejak 11 pagi ini,” katanya di sini hari ini.

Seorang pengguna jalan raya, Mohd. Syafiq Ismail, 31, berkata, rutin harian untuk ke bandar Gua Musang hari ini tergendala apabila air melimpahi jambatan.

Katanya, dia yang menunggang motosikal terpaksa berpatah balik ke rumah.

“Sudah lebih tiga tahun masalah perhubungan ini membelenggu penduduk dan pengguna jalan raya Gua Musang-Jeli.

“Setiap kali hujan lebat pergerakan kami terkandas selepas jambatan sementara ini ditenggelami air,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah, Mohd. Yussalmi Mohd. Yusoff berkata, pihaknya telah mengarahkan anggotanya untuk memantau di lokasi kejadian.

Beliau turut menasihatkan pengguna untuk tidak melalui jambatan sementara itu dan menggunakan laluan alternatif lain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini