BACHOK 5 Okt. – Lebih 1,500 ahli PKR dijangka keluar mengundi pada pemilihan pucuk pimpinan parti itu di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Bachok, dekat sini, pagi ini.
Naib Ketua PKR cabang Bachok, Nik Mohd. Faris Syazwan Zainuzzaman berkata, sebanyak 70 peratus perwakilan dijangka keluar mengundi dan waktu petang menjadi pilihan sebilangan perwakilan untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Menurutnya, proses mengundi dibuka seawal pukul 10 pagi dengan mendapat kerjasama pihak polis untuk mengawal lalu lintas sekitar sekolah berkenaan.
“Tiada sebarang kekecohan berlaku di mana proses mengundi berjalan dengan licin tanpa sebarang provokasi walaupun ada kempen dijalankan di luar kawasan sekolah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Nik Mohd. Faris berkata, keseluruhan perwakilan yang hadir akur terhadap amanat pucuk pimpinan untuk menjaga tertib dan berdisiplin sepanjang tempoh pemilihan agar ianya tidak mudah dijadikan isu yang boleh dimanipulasikan oleh parti pembangkang.
Katanya, keputusan pemilihan itu dijangka diperoleh selepas pukul 5 petang ini. – UTUSAN ONLINE











