PORT DICKSON 5 Okt. – Kehadiran calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini pagi tadi bukanlah untuk berkempen bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, Anwar hadir hanya selepas beliau bersetuju menerima pelawaannya untuk ke kem tersebut.
“Kehadiran Anwar dengan saya hari ini adalah selepas saya bersarapan dengan beliau dan kemudiannya saya memberitahu kepadanya untuk ke kem. Saya ajak Anwar dan beliau nyatakan mahu bersama.
“Saya rasa tiada ucapan kempen pun, seperti undilah saya, tiada.. kehadiran beliau bukan untuk berkempen, saya rasa tiada apa-apa, ini jemputan peribadi,” katanya.
Aminuddin yang juga Pengerusi PKR negeri berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Warga Tentera Darat Bersama Menteri Besar Negeri Sembilan di Dewan Terbuka, Pusasda di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Md. Tajri Alwi dan Panglima 1 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Reduan Omar.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan mempersoalkan kehadiran Anwar dalam majlis penganugerahan pingat kepada pesara tentera yang berlangsung di Muzium Tentera Darat di sini, baru-baru ini.
Kehadiran Anwar itu juga menimbulkan persoalan sama ada itu dianggap sebagai melanggar kesalahan pilihan raya atau tidak.
Pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis 4 Ogos lalu, antara kategori kesalahan pilihan raya yang digariskan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bersih adalah penggunaan harta dan program kerajaan. – UTUSAN ONLINE











