Permohonan Farid mengambil semula pasport ditolak - Utusan Malaysia

Permohonan Farid mengambil semula pasport ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak permohonan pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi urusan ke luar negara.

Majistret Nor Ariffin Hisham membuat keputusan itu selepas dokumen sokongan berhubung permohonan berkenaan tidak dikemukakan oleh pelakon berusia 37 tahun itu.

Terdahulu, peguam bela, Faizul Mohd. Nasir yang mewakili Farid mengemukakan permohonan itu atas alasan anak guamnya perlu menjalani penggambaran filem di luar negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, Farid yang ditemui di luar mahkamah berkata, beliau memerlukan pasport bagi urusan kerja.

“Sebagai seorang pelakon, saya perlukan pasport antarabangsa untuk urusan lain. 

“Kini, aktiviti lakonan saya juga terbatas kerana masih terikat dengan prosiding mahkamah dan diharapkan kes ini selesai,” katanya.

Ketika disoal pemberita sama ada dia kecewa atau tidak permohonannya ditolak, beliau akur dan memahami prosedur mahkamah itu.

Terdahulu, Farid hadir ke mahkamah ditemani isterinya, Datin Diana Dianelle.

Sementara itu, di hadapan Majistret Salamiah Salleh, mahkamah menetapkan pada 26 sehingga 29 November depan untuk perbicaraan kes laporan palsu yang dihadapinya.

Mahkamah turut menolak representasi bagi menggugurkan kes yang dihadapi pelakon itu.

Pada 7 Mei lalu, Faizul telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mary Phoon Keat Mee dan Mohamad Firdaous Mohamed Idris.

Pada 16 Januari lalu, Farid berdepan empat pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara kira-kira pukul 1.20 petang, 11 Januari lalu.

Pelakon itu juga didakwa menggunakan dadah berbahaya jenis ganja. 

Pada 9 Mac lalu, Farid didakwa sekali lagi atas pertuduhan mereka keterangan palsu bersabit sebuah laporan polis dengan memasukkan keterangan tidak benar yang mana laporan itu boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan itu. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini