KEMENANGANNYA di pentas Da’i Pendakwah Nusantara musim keenam, mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi peserta mualaf pertama menjuarai program realiti dakwah nombor satu itu.
Malah jejaka berketurunan Kadazan Dusun itu tidak menafikan bahawa kemenangan itu membakar semangatnya dalam menyebarkan agama dan membantu umat Islam terutama golongan mualaf.
Bagaimanapun, sebelum dia menunaikan misi yang lebih besar, Da’i Adam atau Muhammad Adam Muhibullah Abdullah, 26, memberitahu, kemenangan itu turut membuka jalan untuknya membantu ibu kandungnya, Nur Shahwanie Abdullah, 49, yang selama ini tidak pernah membesarkan dirinya.
“Selepas perceraian ibu dan ayah, saya dibesarkan oleh keluarga sebelah ayah sebelum berpindah ke Pulau Pinang dan Selangor. Malam ini (pentas akhir) adalah kali keempat saya bertemu dengan ibu saya sepanjang 26 tahun saya hidup.
“Perasaan syukur untuk kemenangan ini rasa berganda dengan kehadirannya. Insya-Allah, menjadi impian saya untuk menggunakan wang kemenangan itu untuk ringankan beban dia,” kongsi Adam mengenai rancangannya.
Sebagai anak, tiada apa yang lebih penting buat Adam ketika ini selain membantu ibu dan adik beradiknya yang lain.
“Melalui pertemuan kami sebelum ini saya dapat tahu dia (ibu) menjalani kehidupan yang sukar, malah saya sendiri tidak jelas bila sebenarnya dia memeluk Islam memandangkan kami dilahirkan dalam keluarga bukan Islam.
“Sebab itu saya mahu guna hadiah kemenangan ini untuk membantu ibu selain merancang membawa dia menunaikan umrah,” katanya yang meraih RM60,000 sebagai ganjaran juara, RM2,000 (hadiah kategori Da’i Pilihan Almas) serta dua tiket mengerjakan umrah pada pertandingan anjuran TV3 itu.
Dakwah cara Adam
Memeluk agama Islam sejak lapan tahun lalu, kemenangan di pentas Da’i bukan tiket untuknya bermegah dengan ilmu yang dimiliki. Yakin perjalanannya masih jauh untuk mendalami agama suci ini, kata Adam, Fokus utamanya kini adalah untuk memberi inspirasi kepada golongan mualaf lain.
“Tidak dinafikan tanggungjawab berdakwah itu berat, tetapi tujuan utama saya menyertai program ini kerana mahu menjadi inspirasi kepada mualaf lain sebab adalah penting untuk seorang mualaf mengejar kualiti dalam kehidupannya,” kata Adam yang juga pelajar tahun akhir Sarjana Muda Dakwah dengan Pengurusan Sumber Insan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
Ditanya sama ada status mualaf itu sendiri menyebabkan dia dipilih menjuarai program tersebut, Adam yakin kemenangannya telah diadili dengan adil dan saksama.
“Status mualaf saya tidak akan membantu kalau saya buat semuanya secara sambil lewa. Pada program ini, saya telah diadili juri jadi tidak timbul layak atau tidak kerana ini adalah rezeki dari Allah,” katanya.
Lahir dari sebuah program realiti, Adam juga tidak bersetuju dengan sikap beberapa pendakwah bebas yang kini dilihat sangat lantang bersuara.
“Setiap orang ada kekuatan yang berbeza, pilihan untuk menegur secara lantang melalui media sosial bukan kekuatan saya. Sebab saya lebih suka bertemu secara peribadi.
“Tambahan pula, dakwah tidak semestinya melalui pertuturan sahaja tetapi melalui sikap dan cara kita juga adalah salah satu cara dakwah, “ katanya lagi.











