Rasai kembara selera sejagat - Utusan Malaysia

Rasai kembara selera sejagat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tanyalah sesiapa sahaja tentang keistimewaan Malaysia, pasti ramai yang mengatakan tentang kepelbagaian makanan yang ada di negara ini.

Benar, negara kita kaya dengan variasi makanan memandangkan pelbagai kaum dan budaya yang ada, turut mempengaruhi cara makan kita.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tidak terbatas dengan makanan tempatan, masyarakat juga mempunyai cita rasa yang tinggi terhadap makanan-makanan dari luar membuatkan ia mudah untuk ditemukan.

Segala aroma dapat dirasai dalam Journey of Taste, sempena festival makanan dan minuman yang menjanjikan pengalaman gastronomi yang unik kepada pencinta makanan, melalui penyertaan restoran-restoran makanan dan minuman (F&B) tempatan dan luar negara selama sebulan mulai bulan ini di Pavilion Kuala Lumpur (Pavilion KL).

Apa yang pasti ‘kembara’ ini pasti menarik minat si kaki makan untuk datang dan menjamu selera, sekali gus dapat meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.

Sepanjang festival ini, sebanyak 10,000 jenis makanan ditawarkan menerusi 150 restoran yang memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati juadah istimewa air tangan daripada cef-cef terkemuka.

Di samping itu, pelbagai aktiviti seperti bengkel dan demostrasi makanan, hari vegetarian sedunia, pasta percuma, festival ais krim, dan cabutan bertuah turut diadakan.

Berpeluang menyertai prebiu media Journey of Taste bagi merasai sendiri pengalaman menjamu selera, saya dibawa ke beberapa restoran terkemuka yang menawarkan seleksi hidangan istimewa, yang pasti memberi kepuasan kepada si pencinta makanan.

Bermula dengan menikmati sarapan pagi di kedai roti Perancis yang terkenal sejak 1889, Paul Bakery telah membuka pintunya kepada rakyat Malaysia sejak tahun lalu lagi.

Mereka menawarkan pengalaman menikmati budaya makanan orang Perancis menerusi sajian asli seperti roti, lempeng, sandwic, macarons, pastri dan kopi.

Saya kemudiannya dibawa pula menikmati donut enak Krispy Kreme Dougnut yang masih mengekalkan keunggulan resipi turun temurun sejak 81 tahun lalu, menjadi kegemaran ramai di seluruh dunia kerana donutnya sentiasa segar dan berkualiti.

Mula dikenali menerusi perisa original glazed yang boleh dinikmati terus selepas dimasak, kini pelbagai perisa baharu diperkenal seperti Cadbury Chocolate Mudpie, Kit Kat Dougnut, New York Cheesecake, Caramel Cookie Crumble, Almond All Over, dan Cinnamon Classic.

Jika mahu lari daripada menu kebiasaan, boleh mencuba seleksi menu gabungan Thailand dan Jepun di restoran Sanook, yang pastinya membuka selera dalam menikmati sajian kreatif menggunakan resipi rahsia Thai asli dari restoran utama mereka, iaitu Chakri Palace.

Tidak perlu berjalan jauh, susunan deretan restoran yang berdekatan antara satu sama lain dalam bangunan sembilan tingkat itu mudah dilihat dengan jelas, memberi lebih keterujaan buat pengunjung.

Terletak di tingkat tiga, sapaan mesra daripada kumpulan pekerja Acme Bar & Coffee menyambut kehadiran pengunjung bersama seleksi menu yang berubah mengikut musim atau perayaan dari seluruh pelosok dunia.

Menu kegemaran ramai juga menjadi signatur makanan di sini antaranya Grill Lamb Shoulder, Smoke Duck Breast Pasta, Salted Egg Chicken Strips dan Sizzling Brownie dan Oreo Ice Cream.

Selepas menikmati seleksi menu pilihan dari sajian Barat kami beralih pula kepada sajian sihat, iaitu Fish Bowl yang berpegang kepada kepercayaan untuk menyediakan hidangan segar, menyihatkan dan berpatutan untuk pelanggan.

Mengambil inspirasi daripada sajian poke (dipotong dalam bahasa Hawaii) yang merujuk kepada cara makan tradisi nelayan Hawaii memotong tangkapan laut mentah mereka dan digaul bersama sos kicap, bawang Maui, Inamona, bawang hijau dan minyak bijan di dalam mangkuk.

Namun, di Fish Bowl menjadikannya lebih kontemporari dengan menawarkan menu sampingan seperti rumpai laut, furikake, wasabi, roe, dan kacang bakar macadamia digaul bersama nanas, kubis merah atau nasi putih.

Sementara itu, di Nasi Lemak Ong pula memberi persepsi baharu kepada peminat sajian nasi lemak.

Pemiliknya mengatakan masyarakat di Alor Star, Kedah, merujuk hidangan nasi kandar sebagai nasi lemak. Malah, restoran yang sudah 21 tahun bertapak di negeri itu, dikenali sebagai nasi kandar terbaik kerana kepelbagaian lauknya.

Ditemani persekitaran yang selesa untuk seisi keluarga, boleh juga memilih restoran keluarga seperti BBQ Nation dan Grand Imperial kerana masing-masing menawarkan menu lengkap merangkumi sajian India dan Cina.

Sebagai penutup, pemanis mulut di Dip N Dip menyajikan sajian inovasi coklat Belgium mewah seperti lempeng, waffle, ais krim, dan minuman coklat.

 

Gambar Azrul Edham 
Mohd Aminuddin

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini