PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Jawatankuasa Asean mengenai Pengurusan Bencana (ACDM) memainkan peranan penting dalam menyelaras dan memperluaskan bantuan dan sokongan kepada Indonesia bagi menyalurkan bantuan selepas gempa bumi dan tsunami melanda Sulawesi minggu lepas.
Beliau berkata, beberapa kawasan di Sulawesi seperti Palu, Donggala dan Sigi mengalami kerosakan besar akibat bencana itu dan kematian dilaporkan mencatat lebih 1,000 orang manakala lebih 60,000 rumah musnah dan 60,000 lagi orang tidak mempunyai tempat tinggal.
“Tragedi itu memang menyayat hati, tetapi sebagai jiran, kita tidak mahu duduk berdiam diri dan melihat dari sisi sahaja.
“Namun untuk cuba membantu tanpa penyelarasan yang teratur dan perancangan yang strategik akan menghasilkan situasi yang lebih huru-hara. Daripada membantu, kita mungkin berkesudahan menyusahkan pihak penyelamat yang lain.











