SEPANG 5 Okt. – Lebih 100 ahli keluarga, rakan serta penduduk setempat menghadiri pengebumian remaja yang ditemukan lemas, Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam Naim, 17, di Tanah Perkuburan Islam Taman Putra Perdana, di sini sebentar tadi.
Video oleh SITI NAIMAH MOHD.
Jenazah Muhammad Ilham yang sebelum itu disembahyangkan di Masjid Taman Putra Perdana di sini, selamat dikebumikan kira-kira pukul 11.25 malam.
Sebelum itu, mayat mangsa ditemukan kira-kira pukul 5.45 petang selepas dipercayai tergelincir ketika memancing bersama rakannya di sebuah lombong berhampiran Taman Putra Perdana, di sini semalam.
Kejadian tersebut turut meragut nyawa enam anggota bomba daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) selepas tali yang mengikat mereka dipercayai terbelit akibat arus deras yang datang secara tiba-tiba ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, empat daripada mereka merupakan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, serta dua anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 tahun. – UTUSAN ONLINE











