PUTRAJAYA 4 Okt. – Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan kejadian enam anggota bomba yang lemas dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di lombong Taman Putra Perdana, Puchong, semalam sebagai satu tragedi yang amat menyedihkan.
Perdana Menteri berkata, beliau berharap bentuk latihan kepada anggota-anggota bomba dapat dipertingkatkan bagi memastikan tragedi berkenaan tidak berulang lagi pada masa depan.
“Ini tragedi menyedihkan, kita belum tahu kenapa enam orang (anggota bomba) tenggelam dalam satu usaha menyelamatkan seorang yang hilang. Jadi, kita berharap adanya latihan-latihan yang lebih berkesan agar bencana seperti ini tidak berlaku lagi.
“Kita akan melihat bantuan kepada keluarga mangsa. Kejadian ini amat tragik dan kita berharap ahli keluarga dapat bersabar kerana kemalangan memang bila-bila boleh berlaku. Saya berharap ia tidak akan terjadi lagi dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (ACDM) Ke-33 dan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Keenam yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Terdahulu, ketika berucap dalam majlis berkenaan, Dr. Mahathir berkata, ACDM mempunyai peranan besar untuk melakukan koordinasi yang berkesan bagi memastikan bantuan daripada negara-negara ASEAN dapat disalurkan kepada mangsa-mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi, Indonesia.
“Kita sebagai jiran memang tidak mahu duduk di tepi dan tidak berbuat apa-apa tetapi sebarang usaha tanpa koordinasi dan perancangan strategik akan mengakibatkan keadaan lebih kelam-kabut, daripada membantu, kita berkemungkinan menyusahkan penyelamat-penyelamat lain,” katanya.
Menurut Dr. Mahathir, Malaysia menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sedang melakukan koordinasi bersama agensi berkaitan dan bersedia untuk menghantar pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta bantuan kemanusiaan kepada kerajaan Indonesia.
Dalam majlis berkenaan, Dr. Mahathir turut menyaksikan penyerahan replika cek bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana di Palu, Sulawesi berjumlah RM1 juta yang disempurnakan Wan Azizah kepada wakil kerajaan Indonesia.
Sementara itu Wan Azizah dalam catatan Twitternya berkata: “Saya bersedih mendengar berita enam hero anggota pasukan penyelamat terkorban ketika dalam operasi mencari dan menyelamat di Puchong. Takziah kepada ahli keluarga hero-hero ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, berita insiden itu sangat menyedihkan.
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad pula menyifatkan tragedi itu amat menyayat hati dan beliau pilu mengenangkan wira-wira yang terkorban.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata: “Amat menyedihkan. Takziah kepada ahli keluarga. Keenam-enam anggota bomba yang terkorban memang wira negara”.











