MARANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca tragedi yang mengorbankan enam anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) JBPM di Puchong, Selangor malam semalam.
Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Soiman Jahid berkata, siasatan itu mungkin mengambil masa dua hingga tiga minggu.
Menurutnya, kesemua enam yang terkorban tersebut adalah penyelam yang mendapat pengiktirafan pelbagai agensi penyelamatan di air dan kejadian adalah suatu di luar jangka.
“Pihak anggota melihat kemungkinan-kemungkinan yang berlaku dan mengendalikannya dengan betul. Dalam masa penyelamatan itu, keadaan arus (air) berubah dan menyebabkan teknik dan taktik kurang sesuai kerana arus yang deras dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menutup Pertandingan Kecekapan Operasi Kebombaan Peringkat Kebangsaan ke-20 di Akademi Bomba Malaysia Wakaf Tapai di sini hari ini.
Mengulas pelbagai dakwaan yang dimuat naik menerusi laman sosial, beliau berkata, JBPM bersedia menerima pandangan orang ramai untuk membaiki kelemahan namun berasa sedih kerana ada yang mencerca dan memandang rendah tugas JBPM. – Bernama











