KOTA BHARU 4 Okt – Bina Integrated Industries Sdn. Bhd (BIISB) yakin cawangannya yang baharu dibuka di negeri ini mampu mencapai sasaran jualan lebih RM3 juta sehingga Disember 2019.
Pengurus Besar BIISB negeri, Hasnazim Md. Nor berkata, sebagai pakar dalam pembuatan cat berkualiti dan mempunyai pelbagai rangkaian produk jenis tersebut telah merancang pelbagai pelan untuk mencapai sasaran tersebut.
Beliau berkata, pihaknya juga meletakkan sasaran jualan bulanan sebanyak RM30,000 bagi mencapai hasrat itu dan perkara tersebut tidak mustahil dengan sokongan lebih 30 pengedar di seluruh negeri ini.
“Cat Bina Paint merupakan produk utama BIISB. Syarikat ini yang diasaskan oleh usahawan bumiputeta, Rosli Adam pada tahun 2005 ini mengeluarkan cat berkualiti tinggi dengan pelbagai warna pilihan untuk kemasan dalaman dan luaran.
“Malah produk ini telah diuji kandungannya di Makmal Perunding dan Pengiktirafan Halal (Halvec) yang mengesahkan kandungannya patuh syariah,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan ahli Persatuan Pengguna Malaysia (PPM) Kelantan di sini hari ini.
Hasnazim berkata, BIISB juga telah memperoleh Sijil Pengurusan Berasaskan Syariah daripada SIRIM; sijil ISO 9001:2008, Sijil Eco-Label dan penerima Anugerah Malaysia Brand 2012 daripada SME Corporation Malaysia.
Jelasnya, di antara projek yang menggunakan cat tersebut ialah Kompleks Mahkamah Kota Bharu, naik taraf sekolah-sekolah daif serta bangunan pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.
Sementara itu, Yang Dipertua PPIM negeri, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, pembukaan BIISB Kelantan sekali gus memperkenalkan dan memperluaskan produk patuh syariah buatan tempatan.
Katanya, pengguna harus bijak dengan membeli barangan tempatan bukan saja menyekat aliran wang ke luar negara, tetapi lebih penting menggalakkan pembangunan industri atau perusahaan tempatan.
“Produk cat Bina Paint setanding dengan jenama-jenama luar negara ini.
“Oleh itu kita perlu mengutamakan barangan buatan Malaysia serta mengikis sikap prejudis terhadap barangan tempatan,” ujarnya.











